Manfaat media sosial untuk bersuara, bukan protes jalanan

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Protes jalanan ketika negara sedang giat menghalang penularan Covid-19 adalah satu tindakan yang salah dari aspek perundangan dan tidak berpatutan dari aspek sosial politik.

Menurut Pengamal Undang-undang, Zee How atau dikenali sebagai Apek Cina, protes jalanan yang dilakukan ketika Covid-19 masih menular dalam negara demi laungan demokrasi mungkin dilihat remeh bagi segelintir.

Namun, beliau tekad berpandangan bahawa demokrasi juga seharusnya memberi laluan kepada usaha negara membendung penularan pandemik itu.

Advertisement

“Demokrasi perlu beri laluan apabila kesihatan dan juga nyawa orang terancam akibat pandemik Covid-19. Ini memang salah, saya buat posting, saya tidak setuju langsung.

“Difahamkan pihak penguatkuasa telah mengambil tindakan selanjutnya untuk membuat siasatan. Kita tengoklah daripada keputusan mereka.

“Sama ada negara undang-undang ini hendak mendakwa atau kompaun, tetapi memang dari segi perundangan salah teruk.

“Tetapi dari segi sosial politik dan demokrasi, tidak salah dan tidak betul, cuma tidak berpatutan.

“Saya berpandangan bahawa ada banyak lagi cara yang lebih baik daripada protes jalanan sewaktu pandemik ini,” ujarnya dalam wawancara Bicara Harakah berjudul Kemelut Politik Bakal Berulang, semalam.

Tambah beliau, sepanjang kariernya menjadi seorang pengamal undang-undang, beliau melihat ramai tertuduh terpaksa menunggu tarikh sebutan di mahkamah selama berbulan-bulan lamanya.

Namun, disebabkan pandemik, sistem perundangan juga telah memberi laluan kepada kerajaan dalam usaha melawan penularan wabak itu.

Begitu juga dari aspek kebudayaan dan kehidupan setiap individu yang terpaksa memberi laluan kepada usaha kerajaan dengan mengabaikan normalisasi kehidupan.

“Ada rakan saya kehilangan ibu bapa yang meninggal dunia dalam masa satu minggu, dia tidak dapat menghadiri upcara pengebumian ibu dan bapa.

“Ini bermaksud kebudayaan dan juga kehidupan yang siginifikasi bagi seseorang dalam kehidupan beliau, juga harus memberi laluan kepada usaha melawan Covid-19,” ujarnya.

Justeru itu katanya, kebebasan suara yang tidak dihadkan oleh pandemik boleh disalurkan melalui penggunaan media sosial seperti yang dilakukan segelintir pemimpin politik.

“Sekarang teknologi sudah canggih, ada ahli politik memilih untuk zahirkan pandangan di media sosial, dan ada juga yang berjaya.

“Saya bagi contoh, Dato’ Seri Najib Razak dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Tuan Guru punya posting, setiap posting five figure (jumlah) likes.

“Dato’ Seri Najib, five figure likes, ada pergi jalanan? Tiada. Ada buat protes, dengan mic, berpusus-pusu, (tidak ikut) SOP? Tiada.

“Jadi, walaupun mereka berhak (membuat protes jalanan), kalau semua aspek kehidupan seseorang telah memberi laluan kepada usaha melawan Covid-19.

“Protes jalanan seharusnya memberi laluan juga dengan adanya teknologi media sosial yang tidak begitu terkawal sekarang.

“Perbuatan mereka ini adalah, pada pandangan saya salah dari perundangan. Dari sosial politik adalah tidak berpatutan dalam demokrasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/8/2021